02 February 2016

COMBO: Antithesis & Tora Datang Lagi



Antithesis
Judul
Tora Datang Lagi
Benz Ali
Penulis
Amirul Bozu
Dubook Press Sdn Bhd
Penerbit
Dubook Press Sdn Bhd
253 muka surat
Jumlah Helaian
302 muka surat
September 2014
Cetakan Pertama
Mac 2015


            Kali ini saya ulas dua buah buku sekaligus. Kedua-duanya adalah ‘buku jalanan’ yang sedang malar segar, diterbitkan oleh penerbit yang sama, tetapi fokus dan isi penceritaan berbeza, juga ditulis oleh penulis berbeza. Buku-buku ini saya berjaya habiskan dalam masa dua minggu cuti semester baru-baru ini, (sebenarnya, dalam masa sehari dua pun boleh habis kedua-duanya).


Antithesis

            Apa itu antithesis? According to Merriam-Webster dictionary, antithesis simply means ‘the exact opposite of something or someone’ or ‘the state of two things that are directly opposite to each other’. Mudah kata, antithesis bermaksud berlawanan atau percanggahan. Judulnya sendiri sudah pun menggambarkan isi buku ini. Ia mengandungi kumpulan catatan-catatan pendek pandangan peribadi penulis, yang semestinya bertentangan dengan pandangan biasa dan penerimaan orang.

            Nama Benz Ali pernah beberapa kali menimbulkan kontroversi di Malaysia. Kelantangan beliau mengkritik isu membuatkan ramai yang resah, lagi-lagi kalau orang yang dikritik itu terkenal dan bernama besar. Hujah yang diberikan cukup lantang tetapi bersahaja. Walaupun pandangan beliau selalu menyakitkan hati, ia sebenarnya membuka mata hati kita untuk melihat sesuatu isu itu dari sudut pandang yang luar biasa, (itu pun jika anda fikir positif). Pada masa yang sama, ia menguji sejauh mana kita memahami dan sekuat mana kita berpegang teguh dengan pandangan yang kita pegang.

            Buku ini sesuai dibaca bagi anda yang ingin tahu tentang Benz Ali, pandangan beliau dalam isu-isu common bumi Malaysia, serta pandangan yang rare daripada pandangan orang kebanyakan. Kalau nak baca pula, bacalah dengan hati yang terbuka untuk menerima perbezaan pendapat. Kadang-kadang idea beliau ni boleh pakai juga. Pesan penerbit, “jika anda mudah tersinggung, jangan beli buku ini.”


Tora Datang Lagi

            Sewaktu saya memegang buku ini, anak saudara saya yang 6 tahun bertanya, “Mak Su, kenapa baca Tora Datang Lagi?” Budak kecil yang lahir dalam zaman milenium pun kenal saja mainan Tora ni, sejenis mainan dalam kotak yang disertakan dengan sepeket biskut bersalut coklat. Ia merupakan ‘abang’ kepada Din Dang dan ‘adik’ kepada JoJo.

Buku ini dipenuhi dengan memori zaman kanak-kanak tahun 90-an. Segala apa yang pernah dilakukan termasuk makanan, mainan, aktiviti harian pada zaman itu diceritakan dengan lengkap di dalam buku ini. Membaca buku ini seperti mengimbau kenangan zaman kanak-kanak dulu. Teringat pula saya pada kawan-kawan lama dan cikgu-cikgu sekolah.

            Kenangan dahulu sudah banyak yang hilang pada hari ini. Kalau kanak-kanak dahulu banyak bermain permainan mengeluarkan peluh seperti main kejar-kejar, polis dan pencuri, bola sepak, tuju kasut, galah panjang dan sebagainya, kanak-kanak sekarang lebih banyak menghabiskan masa di dalam aircond, bermain gajet dan PS. Tetapi, tak boleh juga nak salahkan ibu bapa kerana keadaan dahulu dan sekarang sangat berbeza. Ibu bapa berkerjaya. Tambahan pula, banyak kes penculikan dan jenayah berlaku pada masa kini.

            Gaya bahasa yang mudah difahami, teknik penceritaan yang sangat santai, ditambah dengan ilustrasi-ilustrasi menarik, ia sangat memudahkan pembaca memahami setiap cerita dan mengimbau kenangan silam. Walaupun tak semua aktiviti yang diceritakan di dalam buku ini sudah dilupakan (ada perkara yang masih dipraktikkan pada hari ini), ia sangat sesuai sebagai simpanan untuk masa hadapan. Bayangkan 50 tahun akan datang, buku ini boleh diulang baca dan boleh juga diberi kepada anak-anak untuk menggambarkan kehidupan ibu bapanya dahulu sebagai kanak-kanak 90-an.

            Saya sarankan anda beli dan baca buku ini. Bila anda baca, pasti anda akan tersenyum sendiri mengenangkan masa lalu. Selamat membaca.

No comments:

Post a Comment