30 January 2016

Shamsiah Fakeh: Pejuang, Pemimpin dan Perempuan



Penulis                         : Azzah AR
Penerbit                       : Grup Buku Karangkraf
Jumlah Helaian               : 536 muka surat
Harga Pasaran             : RM 21.00 (SM), RM 24.00 (SS)


            Ketika sedang membelek buku-buku di kedai buku Popular Alor Setar, saya terjumpa novel ini. Satu nama yang seakan-akan pernah saya dengar suatu ketika dahulu menarik minat saya untuk mengetahui siapakah empunya diri. Setelah berfikir sejenak, saya lantas meletakkan kembali buku-buku lain yang telah diambil dan mengambil keputusan untuk membeli naskhah ini.

            Shamsiah Fakeh, seorang tokoh yang turut memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah. Novel ini memaparkan kisah hidup beliau sejak kelahirannya pada tahun 1924 sehinggalah beliau pulang semula ke Malaysia dan meninggal dunia pada tahun 2008. Sejak kecil, beliau diasuh dengan didikan agama daripada sekolah pondok di Tanah Melayu sehingga ke negeri seberang iaitu di Sumatera.

            Penghijrahannya ke Indonesia bagi mendalami ilmu agama turut memberi impak kepada beliau dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air daripada penjajah. Tidak lama setelah beliau pulang ke Tanah Melayu, beliau mula terlibat secara langsung dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Kehebatan beliau memberi pidato sehingga mampu menaikkan semangat golongan wanita dan pemuda untuk turut sama berjuang membuatkannya disanjungi dan dikenali ramai.

            Beliau pernah dilantik sebagai pemimpin utama Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sebuah parti berhaluan kiri, sehinggalah ia diharamkan oleh British. Walau bagaimanapun, perjuangan beliau tidak terhenti di situ. Beliau meneruskan perjuangannya dengan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM). Namun, tekanan pihak penjajah membuatkan beliau bersama anggota PKM yang lain terpaksa menjalani hidup di dalam hutan di Temerloh, Pahang.

            Kecekalan beliau dalam meneruskan perjuangan nasionalisme bertitik tolak daripada liku-liku pengalaman hidup beliau. Beliau pernah berkahwin beberapa kali tetapi ditinggalkan oleh suami tanpa sebarang berita. Beliau juga pernah kehilangan anak setelah ditinggalkan suami dan ketika berada dalam pelarian di hutan kerana dibunuh oleh golongan yang tidak berperikemanusiaan.

            Keperitan hidup yang dialami tidak pernah mematikan langkah perjuangan beliau. Setelah menerima tekanan yang sangat hebat daripada penjajah, beliau terpaksa berhijrah ke China, Indonesia, dan Vietnam sebagai pelarian. Di sana, beliau masih melibatkan diri dengan Parti Komunis di negara-negara tersebut dan memberi sumbangan dalam menaikkan semangat penduduk untuk perjuangan di tanah air mereka.

Selain daripada menceritakan peribadi Shamsiah Fakeh, novel ini turut berkongsi tentang pertubuhan-pertubuhan yang ada di Tanah Melayu pada ketika itu seperti AMCJA, PKMM, API, MPAJA, UMNO, dan sebagainya. Penulis turut memberi gambaran bagaimana PKM berubah watak daripada sebuah parti yang hanya mahu memperjuangkan kemerdekaan kepada sebuah pertubuhan yang menggunakan kekerasan terhadap penduduk.

Melalui novel ini, penulis berjaya membuka mata saya terhadap sosok tubuh seorang insan bernama Shamsiah Fakeh. Jika dahulu namanya hanya terselit sebagai salah seorang komunis, kini saya lebih mengenali dan mengagumi kehebatan dan kecekalan beliau sebagai seorang pejuang wanita. Penulis menggunakan bahasa dan teknik penceritaan yang sangat mudah difahami sehingga mampu membawa saya berada pada zaman tersebut.

            Penulis juga tidak meletakkan fakta ke dalam novel ini sesuka hati. Di bahagian lampiran, penulis menyertakan senarai rujukan yang telah digunakan dalam penulisan novel ini bagi membolehkan pembaca membuat rujukan semula. Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Shamsiah Fakeh tetapi lebih meminati kaedah yang bersifat santai, novel ini saya sarankan untuk dibaca.

No comments:

Post a Comment