30 January 2016

Shamsiah Fakeh: Pejuang, Pemimpin dan Perempuan



Penulis                         : Azzah AR
Penerbit                       : Grup Buku Karangkraf
Jumlah Helaian               : 536 muka surat
Harga Pasaran             : RM 21.00 (SM), RM 24.00 (SS)


            Ketika sedang membelek buku-buku di kedai buku Popular Alor Setar, saya terjumpa novel ini. Satu nama yang seakan-akan pernah saya dengar suatu ketika dahulu menarik minat saya untuk mengetahui siapakah empunya diri. Setelah berfikir sejenak, saya lantas meletakkan kembali buku-buku lain yang telah diambil dan mengambil keputusan untuk membeli naskhah ini.

            Shamsiah Fakeh, seorang tokoh yang turut memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah. Novel ini memaparkan kisah hidup beliau sejak kelahirannya pada tahun 1924 sehinggalah beliau pulang semula ke Malaysia dan meninggal dunia pada tahun 2008. Sejak kecil, beliau diasuh dengan didikan agama daripada sekolah pondok di Tanah Melayu sehingga ke negeri seberang iaitu di Sumatera.

            Penghijrahannya ke Indonesia bagi mendalami ilmu agama turut memberi impak kepada beliau dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air daripada penjajah. Tidak lama setelah beliau pulang ke Tanah Melayu, beliau mula terlibat secara langsung dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Kehebatan beliau memberi pidato sehingga mampu menaikkan semangat golongan wanita dan pemuda untuk turut sama berjuang membuatkannya disanjungi dan dikenali ramai.

            Beliau pernah dilantik sebagai pemimpin utama Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sebuah parti berhaluan kiri, sehinggalah ia diharamkan oleh British. Walau bagaimanapun, perjuangan beliau tidak terhenti di situ. Beliau meneruskan perjuangannya dengan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM). Namun, tekanan pihak penjajah membuatkan beliau bersama anggota PKM yang lain terpaksa menjalani hidup di dalam hutan di Temerloh, Pahang.

            Kecekalan beliau dalam meneruskan perjuangan nasionalisme bertitik tolak daripada liku-liku pengalaman hidup beliau. Beliau pernah berkahwin beberapa kali tetapi ditinggalkan oleh suami tanpa sebarang berita. Beliau juga pernah kehilangan anak setelah ditinggalkan suami dan ketika berada dalam pelarian di hutan kerana dibunuh oleh golongan yang tidak berperikemanusiaan.

            Keperitan hidup yang dialami tidak pernah mematikan langkah perjuangan beliau. Setelah menerima tekanan yang sangat hebat daripada penjajah, beliau terpaksa berhijrah ke China, Indonesia, dan Vietnam sebagai pelarian. Di sana, beliau masih melibatkan diri dengan Parti Komunis di negara-negara tersebut dan memberi sumbangan dalam menaikkan semangat penduduk untuk perjuangan di tanah air mereka.

Selain daripada menceritakan peribadi Shamsiah Fakeh, novel ini turut berkongsi tentang pertubuhan-pertubuhan yang ada di Tanah Melayu pada ketika itu seperti AMCJA, PKMM, API, MPAJA, UMNO, dan sebagainya. Penulis turut memberi gambaran bagaimana PKM berubah watak daripada sebuah parti yang hanya mahu memperjuangkan kemerdekaan kepada sebuah pertubuhan yang menggunakan kekerasan terhadap penduduk.

Melalui novel ini, penulis berjaya membuka mata saya terhadap sosok tubuh seorang insan bernama Shamsiah Fakeh. Jika dahulu namanya hanya terselit sebagai salah seorang komunis, kini saya lebih mengenali dan mengagumi kehebatan dan kecekalan beliau sebagai seorang pejuang wanita. Penulis menggunakan bahasa dan teknik penceritaan yang sangat mudah difahami sehingga mampu membawa saya berada pada zaman tersebut.

            Penulis juga tidak meletakkan fakta ke dalam novel ini sesuka hati. Di bahagian lampiran, penulis menyertakan senarai rujukan yang telah digunakan dalam penulisan novel ini bagi membolehkan pembaca membuat rujukan semula. Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Shamsiah Fakeh tetapi lebih meminati kaedah yang bersifat santai, novel ini saya sarankan untuk dibaca.

18 January 2016

Episod 1: Nak Masuk Tak Masuk?

            Tulisan ini saya karang sudah lama, sudah beberapa kali diedit. Saya sebenarnya segan juga untuk mengaku bahawa saya seorang bekas pelajar Darul Quran, kerana ilmu al-Quran saya tidaklah tinggi, hafalan pun tak semantap mana, saya juga bukanlah seorang yang baik seperti malaikat. Tapi, perkongsian saya ini hanyalah sebagai diari peribadi untuk titipan buat semua, semoga ia mampu memberi gambaran tentang kehidupan saya sepanjang berada di sini. Selamat membaca.

**********

Episod 1: Nak Masuk Tak Masuk?

            Sebenarnya, idea untuk memohon dan menyambung pengajian ke Darul Quran memang bukan 100 peratus dari kehendak dan keinginan saya sendiri. Saya memohon hanya sekadar suka-suka dan ikut kawan, sedangkan saya sendiri pada waktu itu tidak tahu pun apakah ‘Darul Quran’ itu.

            Menggunakan keputusan percubaan SPM, kami tersenarai untuk menghadiri sesi temuduga kemasukan ke DQ. Ramai rakan, termasuk teman rapat saya Shaza, dan juga Hayatun, begitu teruja untuk ke sesi temuduga. Ada yang memberitahu bahawa proses temuduga termasuk ujian hafalan dan pemilihan bidang di UIA. Kami membuat persiapan dengan berlatih menghafal mana-mana muka surat al-Quran dalam masa 30 minit untuk separuh muka surat. Mereka sangat rajin, persiapan saya tidaklah serancak mereka.
           
            Sesi temuduga dijalankan di dewan besar Maktab Mahmud Alor Setar. Kerinduan saya terhadap sekolah lama saya ini sedikit terubat. Saya sempat bertemu dengan beberapa orang rakan di sana. Selesai temuduga, ada yang gembira kerana berjaya menghafal dan menjawab soalan dengan baik, dan ada juga yang sebaliknya.

            Tawaran kemasukan ke DQ dihantar ke rumah melalui Pos Ekspres. Mak dan bapak yang menerima surat tersebut kerana saya masih berada di asrama. Waktu itu peperiksaan SPM hanya tinggal satu subjek sahaja lagi. Rakan-rakan ada mengajak saya untuk menyemak keputusan melalui internet, tetapi saya tidak berminat. Ramai yang hampa apabila permohonan mereka tidak berjaya.

Saya terkejut apabila mak dan bapak datang ke sekolah pada suatu petang sedangkan saya baru sahaja pulang ke asrama dari rumah sehari sebelumnya. Lama saya belek sampul dan isi surat tersebut. Sebenarnya, saya sudah mula melupakan keinginan untuk meneruskan pengajian di DQ kerana ramai rakan saya yang tidak berjaya. Saya sudah pun mula berfikir plan-plan lain sepanjang cuti selepas habis peperiksaan SPM hingga pendaftaran untuk sambung belajar.

Saya meminta pandangan mak dan bapak tentangnya. Mereka kata mereka ikut jawapan saya. Saya tahu mereka sebenarnya nak anak bongsu mereka ini terima tawaran tersebut. Saya tanya sekali lagi kepada mak dan bapak. Mak akhirnya berkata, “Pi lah dulu tengok macam mana. Bukan senang nak dapat ni.”

15 January 2016

Katarak



Penulis                         : Fitri Hussin
Penerbit                       : Grup Buku Karangkraf
Jumlah Helaian            : 536 muka surat
Harga Pasaran             : RM 21.00 (SM), RM 24.00 (SS)


            Novel ini dimulakan dengan pertemuan lima orang mahasiswa di sebuah universiti yang akhirnya menjadi sahabat karib iaitu Zamri, Azrul, Anas, Wadi, dan Fadhil. Zamri pada asalnya tidak pun dikenali oleh sesiapa kerana tidak mempunyai sebarang keunikan, tidak seperti rakan-rakannya yang lain. Namun, dia mula terkenal di universiti apabila blognya iaitu Rumah Telus mula berkongsi cerita dan isu-isu panas yang berlaku di kampus. Blog tersebut sering dikunjungi oleh mereka yang ingin mengetahui kisah sebenar di sebalik isu-isu tersebut.

            Bermula dengan projek memikat seorang siswi untuk Azrul, mereka berjaya menyelesaikan pelbagai masalah dengan cara yang unik dan menarik. Walau bagaimanapun, mereka mula diuji dengan pelbagai kejadian yang tidak diingini setelah projek memikat tersebut berjaya. Seorang demi seorang daripada mereka ditimpa kesulitan yang hebat dan menggemparkan. Mereka difitnah, dikeji, dan dibenci oleh masyarakat kampus dan diuji dengan pelbagai masalah yang rumit untuk diselesaikan.

            Saya bukanlah seorang pembaca tegar novel tetapi hanya meminati novel bergenre thriller atau sejarah. Pertama kali saya membaca novel ini, kaedah penulisannya nyata berbeza dengan kaedah yang diguna pakai oleh novelis thriller terkenal iaitu Ramlee Awang Mursyid. Novel ini mudah difahami dan dihayati kerana penulis berjaya menceritakan setiap perkara dengan lengkap dan teliti. Kronologi peristiwa yang berlaku pula mempunyai banyak unsur kejutan.

            Gaya bahasa yang digunakan juga memudahkan lagi pembacaan. Saya agak kagum dengan kemampuan penulis menghuraikan segala perkara termasuk maksud Upacara Pengenalan yang dihadiri oleh Zamri dan artikel-artikel yang dimuatkan dalam blog Rumah Telus dan MP. Kisah yang diceritakan pula tidak klise walaupun ia berkenaan dengan realiti hidup di universiti.

            Namun begitu, penghuraian yang dilakukan oleh penulis kadangkala mengganggu pembacaan saya contohnya ketika projek memikat berlangsung. Walaupun penulis sedaya upaya memberikan gambaran jelas tentang keadaan tersebut, saya, seorang yang lebih mementingkan point penting, hanya melompat ke perenggan seterusnya kerana begitu teruja untuk mengetahui sama ada mereka berjaya atau tidak. Saya juga bersetuju untuk mengatakan bahawa singkatan yang digunakan agak banyak dan mengelirukan.