11 October 2014

Syahadah Gadis Ateis



Penulis                         : Imran Haaz
Penerbit                       : PTS Islamika Sdn. Bhd.
Jumlah Helaian            : 377 muka surat
Harga Pasaran             : RM 16.00 (SM), RM 18.00 (SS)


            Novel ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Nizam yang ingin pulang ke kampung halamannya sempena cuti semester pada tahun 1997. Dengan berpakaian yang agak selekeh bersama sebuah gitar kapuk, dia menaiki kereta api dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur ke Bukit Mertajam. Di awal perjalanan, dia bertemu dengan seorang gadis ateis bernama Rina yang ingin ke Butterworth untuk bertemu dengan seorang bekas paderi Kristian bernama Josiah.

Perjalanan tersebut menjadi luar biasa apabila Nizam mula dihujani dengan pelbagai soalan maut tentang agama Islam oleh Rina. Walaupun Nizam hanyalah seorang pelajar jurusan Sains di UiTM Shah Alam, dia berusaha sedaya upaya menjawab setiap persoalan tersebut dengan hujah dan fakta yang berasas. Antara soalan-soalan yang diutarakan oleh Rina kepada Nizam ialah:

  • Mengapa saya perlu menyembah Allah?
  • Saya tidak akan menyembah Tuhan yang saya tidak nampak. Buktikan yang Allah itu ada!
  • Mengapa Allah? Kenapa bukan tuhan lain?
  • Kenapa Allah tidak pernah memakbulkan doa-doa saya? Sedangkan Allah berjanji setiap doa yang dipohon hambanya dimakbulkan!
  • Jika Allah maha penyayang, mengapa orang kafir dibakar selama-lamanya di dalam neraka?
  • Mengapa ada banyak agama di dunia ini? Kenapa tidak satu sahaja dari zaman Nabi Adam?
  • Awak cakap kitab-kitab agama terdahulu tercemar dengan tulisan-tulisan tangan manusia. Boleh buktikan? Setakat cakap, sesiapa pun boleh cakap. Buktikan!
  • Saya terbaca dalam banyak media dan internet mengatakan Islam adalah agama yang menindas wanita. Adakah benar?
  • Jika awak katakan yang Islam itu adil, kenapa hanya lelaki dibenarkan kahwin sehingga empat orang? Sedangkan wanita hanya dibenarkan berkahwin dengan seorang suami. Bukankah itu tidak adil?
  • Mengapa pula berlaku diskriminasi pada wanita dalam pembahagian harta pusaka? Bukankah Islam mengutamakan hak wanita dalam semua perkara?
  • Kenapa Allah menyuruh para malaikat dan iblis menyembah Nabi Adam? Sedangkan menyembah makhluk adalah perbuatan mensyirikkan Allah.
  • Apa yang saya tahu, Nabi Muhammad menerima wahyu pertama ketika beliau berumur 40 tahun. Jadi, apa agama Nabi Muhammad sebelum dilantik menjadi rasul?
  • Mengapakah hukum hudud di dalam al-Quran seperti terlalu kasar? Bukankah tidak bertamadun hukuman sebegitu?

Secara peribadi bagi saya, naskhah ini bukanlah sebuah novel tetapi sebuah bahan bacaan ilmiah yang perlu dibaca oleh setiap insan terutamanya bagi mereka yang ingin lebih mengetahui tentang agama Islam. Naskhah ini memberi jawapan lengkap kepada setiap persoalan yang biasanya diutarakan oleh golongan yang mempunyai salah faham tentang Islam termasuk mereka yang menentang agama ini.

Setiap persoalan dijawab dengan hujah dan fakta yang berasas bersumberkan al-Quran serta dibandingkan dengan kitab suci agama-agama lain seperti Kristian, Yahudi, dan Hindu. Selain itu, penulis juga membawa beberapa contoh bagi memudahkan lagi kefahaman pembaca. Gaya bahasa dan teknik penceritaan yang agak santai pula membuatkannya berbeza dengan bahan bacaan ilmiah yang lain.

Ketika membaca buku ini, saya seolah-olah membaca buku The Choice tulisan Sheikh Ahmad Deedat dan menonton siri dialog perbandingan agama Dr. Zakir Naik. Naskhah ini merupakan keperluan penting bagi mereka yang belum menemui jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut. Ia juga boleh dijadikan panduan dan rujukan bagi menjawab salah faham masyarakat terhadap agama Islam. Selamat membaca.

3 comments:

  1. Nicee. kim,nak pinjam buku ni boleh?:-D btw, xde ulas pasal laras bahasa or gaya penceritaan mcm mana? (gaya tanya macam la pernah buat). :-P. anyway,nice review. ;-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ehh silap2. Xperasan ada tulis psl gaya bahasa n teknik pnceritaan tu. haihh kantoi baca sekilas je. :-P

      Delete
    2. Aina, buku ni ada di rumah la. huhu..

      Delete